KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mewujudkan satu Institusi Pentadbiran Perpindahan Subsidi sekiranya mahu mengaplikasi kaedah pemberian subsidi kepada rakyat menerusi pindahan tunai, kata pakar ekonomi Prof Emeritus Barjoyai Bardai.

Prof Emeritus di Sekolah Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak itu berkata institusi berkenaan boleh diletakkan di bawah seliaan Kementerian Kewangan (MoF) dan akan bertindak sebagai paymaster kepada pemberian subsidi.

Beliau berkata biarpun MoF sudah mempunyai bahagian pembayaran yang bertanggungjawab membuat pindahan kepada pelanggan atau pembekal kerajaan, namun bagi melicinkan pemberian subsidi pindahan tunai, wajar satu institusi dengan pengasingan tugas diwujudkan.

"Ini kerana ia melibatkan satu tugasan baharu dengan kerja yang banyak, malah penerima juga dijangka menjangkau lebih lapan juta orang, ia bukan jumlah kecil dari segi individu mahupun amaun bayarannya.

"Institusi ini nanti akan urus hal-hal terkait pentadbiran, pengurusan data termasuk verifikasi akaun, menentukan siapa golongan penerima dan memastikan pemindahan tunai dilakukan mengikut jadual," katanya kepada Bernama.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa persidangan Dewan Rakyat berkata kerajaan sedang mempertimbangkan pemberian subsidi kepada rakyat menerusi pindahan tunai bagi mengelak berlakunya ketirisan serta memberi manfaat kepada warga asing.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pemberian secara pindahan tunai itu tidak boleh dilaksanakan untuk semua perkara, sebaliknya hanya beberapa urusan tertentu sahaja.

Sementara itu, Pensyarah Kanan di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) Asisten Prof Dr Abu Sofian Yaacob berkata sekiranya dilaksanakan, kelayakan penerima subsidi melalui pemindahan tunai itu tidak seharusnya bersandar kepada pengkelasan kategori B40, M40 mahupun T20.

Beliau berkata terdapat kelompongan dalam kaedah pengeklasan itu, jadi kerajaan perlu lebih memberi tumpuan kepada kelayakan penerima dengan meneliti satu demi satu permohonan yang diterima.

"Dalam keadaan semasa, B40 ke M40 dah tak relevan kerana tidak mencerminkan keadaan sebenar sesebuah keluarga, kena ambil kira lokasi mereka tinggal, pendapatan, pasangan bekerja atau tidak, jumlah anak dan tanggungan lain, faktor kesihatan keluarga, ini lebih adil tanpa prejudis mahupun mengikut kasta.

"Boleh contohi apa yang diamalkan di negara maju, United Kingdom contohnya bantuan kredit diberi mengikut manfaat seperti kategori pendidikan anak-anak, kediaman dan kadar upah," katanya.

Dalam pada itu, Pakar Kewangan Keluarga Prof Dr. Mohamad Fazli Sabri berkata cadangan pemberian subsidi menerusi pemindahan tunai itu amat baik dalam mengatasi soal ketirisan kepada kira-kira 3.5 juta warga asing di negara ini.

Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia itu berkata ia juga selaras dan rasional dengan apa yang sering diungkap Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu mengatasi subsidi kepada bukan sasaran yakni golongan kelas atasan atau mahakaya.

"Tinggal lagi perlu perhalusi mekanisme penyalurannya, saya lihat dalam Belanjawan 2023 baru ini ada sebut soal Pusat Data Utama yang menggabungkan data daripada 200 agensi, jadi saya kira ia boleh dijadikan platform rujukan," katanya.

Fazli berkata cadangan subsidi melalui pemindahan tunai itu juga selari ke arah era digitalisasi ketika ini, selain mencadangkan pemberian subsidi itu ditetapkan mengikut kemampuan kewangan kerajaan sama ada dikreditkan setiap tiga bulan, enam bulan atau setahun sekali.

-- BERNAMA